expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass '>

Sunday 3 November 2013

Perbezaan KBSR dengan KSSR



PENGENALAN
Sistem pendidikan negara terus mengalami perkembangan selaras dengan perubahan yang telah berlaku dalam merentasi zaman kemodenan. Kronologinya, Akta Pelajaran 1961 menjadi asas kepada perlaksanaan pendidikan di negara ini, atas dasar untuk membasmi buta huruf rakyat dan melahirkan tenaga kerja mahir. Manakala pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah(KBSR) diperkenalkan setelah dibuat penambahbaikkan ke atas kurikulum lama, kesan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Seterusnya apabila Falsafah Pendidikan Negara – FPN (1988) disuratkan, sekali lagi kurikulum diberi penambahbaikkan, lalu Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukarkan namanya kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang bermula pada tahun 1993. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah berorientasi berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara. Memandangkan zaman semakin berubah, sekali lagi kurikulum baru diperkenalkan iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini dilaksanakan pada tahun 2011 hinggalah sekarang.

LATAR BELAKANG : KBSR
KBSR merupakan singkatan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah yang diperkenalkan ekoran daripada terbitnya Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. KBSR diperkenalkan pada tahun 1982 menggantikan Kurikulum Lama Sekolah Rendah. Kurikulum ini telah mula dilaksanakan di semua sekolah rendah bermula pada tahun 1982 di 305 buah sekolah rendah dan pada tahun 1983, pelaksanaan penuh pun bermula di semua sekolah rendah seluruh negara.
KBSR pada asasnya berpegang pada konsep bahawa murid-murid perlu memperolehi ilmu pengetahuan, menguasai pelbagai kemahiran dan menghayati nilai secara terus melalui pengalaman.
KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dan alam sekitar dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi menjadi bidang utama dengan menekankan kemahiran asas iaitu kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) yang diterapkan melalui 2 matapelajaran : Bahasa (Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris) dan Matematik. Bidang ini selaras dengan perakuan dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.
“Kementerian hendaklah mengambil langkah tertentu supaya pendidikan rendah bercorak pendidikan asas yang memberi penegasan dalam bidang 3M iaitu membaca, menulis dan mengira”
          ~ Perakuan 2a, Laporan Jawatankuasa Kabinet.
Dalam bidang kemanusiaan dan alam sekitar pula, memfokuskan tentang nilai-nilai kemanusiaan dan persekitan serta komponen kerohanian, nilai dan sikap yang diajar melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Manakala, dalam bidang perkembangan diri individu pula meliputi semua aspek iaitu intelek, rohani, jasmani, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial. Aspek ini diterapkan kepada murid melalui pembelajaran Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni dan Muzik.
Walaubagaimana pun, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diubah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1993 selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ditulis ketika itu. Ini berlaku setelah penyemakan semula kurikulum dibuat dengan alasan bagi mengenalpasti kerelavanannya dalam merentas masa. Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ditulis ketika itu, konsep bersepadu menjadi tumpuan utama dalam kurikulum dan pengajaran di sekolah melalui perlaksanaan KBSR.
Konsep bersepadu yang dikandung dalam KBSR adalah meliputi unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kandungan KBSR diintergrasikan supaya terdapat kesepaduan. Maka dalam proses pengajaran dan pembelajaran, konsep bersepadu tadi diserapkan melalui :
      I.          Penggabungjalinan untuk menyepadukan kemahiran-kemahiran selain daripada penyerapan ilmu pengetahuan.
    II.          Nilai-nilai pula dititikberatkan dan mesti diserapkan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran.
  III.          Perkembangan potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu berlaku secara harmonism menyeluruh dan sepadu. Perkembangan ini tidak boleh dilakukan secara berasingan.
  IV.          Kesepaduan antara teori dan praktik.
Suasana persekolahan dalam konteks KBSR adalah bagi memberi peluang murid-murid memperoleh dan merasai pengalaman hidup seperti menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat, membina persefahaman dalam pergaulan dan memupuk semangat kerja antara satu sama lain.

  LATARBELAKANG : KSSR  
Transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah merupakan pengukuhan dan penambahbaikkan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. KSSR telah menjalani uji rintis di 500 buah sekolah rendah yang terpilih pada 31 Mac 2009 hingga Jun 2009. KSSR dilaksanakan sepenuhnya kepada murid-murid tahun 1 di semua sekolah bermula pada 2011.

          KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR iaitu perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid, pendekatan bersepadu dan pendidikan seumur hidup. Dalam KSSR, penggunaan standard diguna pakai. Oleh itu, pengajaran KSSR adalah berpandukan Dokumen Standard Kandungan dan Dokumen Standard Pembelajaran.
“KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan”
Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM(2011)
          Dari segi reka bentuk, KSSR berasaskan kepada enam tunjang iaitu Tunjang Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika, Sains dan Teknologi dan Keterampilan Diri. Dalam KSSR juga telah ditambah dengan elemen merentas kurikulum (EMK) yang baru iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

BANDING BEZA ANTARA KBSR DENGAN KSSR
Jadual di bawah menunjukkan banding beza antara KBSR dengan KSSR secara ringkas.

sumber : laman sesawang KPM

 
 
1.PERSAMAAN KBSR dengan KSSR

Sepertimana yang telah kita ketahui, kewujudan KSSR ini adalah merupakan satu proses transformasi daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Ini menjadikan KSSR mempunyai sedikit persamaan dengan KBSR.
Antara persamaan KBSR dengan KSSR ialah
      I.          Kedua-dua kurikulum ini diolah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana prinsip KSSR masih lagi berpegang teguh kepada 4 prinsip yang didukung oleh KBSR iaitu pendekatan bersepadu di mana unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam kandungan si pelajaran diintergrasikan supaya terdapat kesepaduan dan keharmonian antara unsur-unsur  intelek, rohani, emosi dan jasmani dalam proses pembelajaran murid. Prinsip lain yang sama-sama dipegang KBSR dan KSSR ialah perkembangan individu secara menyeluruh, peluang pendidikan yang sama serta pendidikan seumur hidup.
    II.          KBSR dan KSSR juga mempunyai persamaan dalam organisasi kurikulum. Kedua-dua kurikulum ini diorganisasikan mengikut tahap iaitu, Tahap 1 dan Tahap 2. Walaubagaimana pun, pengkategorian dalam organisasinya pula telah berbeza(akan dihuraikan di bawah tajuk perbezaan KBSR dan KSSR). KBSR dan KSSR juga turut memberikan penekanan dalam bidang kokurikulum dan pembangunan insaniah.

2.PERBEZAAN ANTARA KBSR dengan KSSR
Perbandingan antara KBSR dan KSSR boleh dibuat berdasarkan perkaitan berikut ; reka bentuk kurikulum, organisasi kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, pembahagian masa, bahan kurikulum, fokus kurikulum dan penilaian.

       I.          Reka bentuk kurikulum.

KBSR direka dengan hanya mempunyai tiga bidang utama iaitu bidang Komunikasi, Manusia dan Alam Sekelilingnya serta bidang Perkembangan Diri Individu. Tiga bidang ini direka bagi memastikan perkembangan murid secara menyeluruh untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta intergrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.
Manakala, KSSR pula telah direka dengan penambahbaikkan daripada KBSR. Enam tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi dan tunjang Keterampilan Diri menjadi bidang utama dalam KSSR.
Penambahanbaikan reka bentuk dalam KSSR, bermatlamat untuk memperluaskan skop pembelajaran murid di peringkat sekolah rendah dan memberi banyak peluang kepada mereka untuk menjalani ‘independent learning’ .
Reka bentuk KBSR adalah bersifat linear yang bermaksud kurikulum yang disampaikan adalah mengikut turutan misalnya bermula daripada kandungan, hasil pembelajaran dan seterusnya cadangan dan aktiviti pembelajaran. Berlainan dengan KSSR di mana dibentuk secara modular yang merupakan satu kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit yang dinamakan sebagai modul.

    II.          Bahan Kurikulum

Justeru dengan perubahan yang berlaku dalam reka bentuk kurikulum, ia juga membawa perubahan kepada bahan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran guru semasa KBSR adalah berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran sebagai panduan. Pembelajaran murid berlangsung mengikut perancangan yang dibuat oleh guru berdasarkan kedua-dua dokumen itu. Bagi KSSR yang digubal secara pernyataan standard maka dengan itu, bahan yang dirujuk oleh guru-guru ialah Dokumen Standard  Kurikulum yang mengandungi Dokumen Standard Kandungan dan Dokumen Standard Pembelajaran. Segala perubahan ini telah menyebabkan para guru perlu untuk membuat perubahan dalam pengajaran masing-masing sama ada daripada segi kaedah, strategi serta teknik mengajar.


  III.          Organisasi Kurikulum

KBSR dan KSSR masih lagi mengekalkan organisasi kurikulum yang sama iaitu membezakan murid mengikut tahap iaitu tahap 1 untuk murid tahun 1 hingga tahun 3 dan tahap 2 untuk murid tahun 4 hingga tahun 6 namun terdapat perbezaan dalam penstrukturan mata pelajaran.
          Murid tahap 1 dan 2 perlu diajar dengan mata pelajaran teras, wajib dan tambahan dalam KBSR .Semasa KBSR diguna pakai, selain bahan-bahan daripada buku teks, bahan-bahan lain yang relevan difikirkan dan disediakan oleh guru sevagai bahan pembelajaran di dalam kelas. Namun dalam KSSR, tahap 1 diajar melalui Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif, berbeza dengan pengajaran kepada murid tahap 2 di mana murid-murid ini diajar dalam matapelajaran teras dan elektif. Perlaksanaan KSSR yang berasaskan modular telah menggunakan bahan-bahan pembelajaran  yang menggiatkan pelajar belajar secara interaktif dan hands-on.




  IV.          Fokus Kurikulum.

Perbezaan antara dua kurikulum ini juga dapat dilihat melalui fokus setiap kurikulum . Ini dapat dilihat dalam kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid.
KBSR memberi penegasan kepada penguasaan murid dalam kemahiran asas iaitu kemahiran 3M yang membawa maksud kemahiran membaca, menulis dan mengira, manakala dalam KSSR pula, telah ditambah satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid menjadikannya empat kemahiran asas. Kemahiran asas yang telah ditambah ke dalam KSSR ialah kemahiran menaakul. Kemahiran Menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. Di tahap 1, tumpuan adalah kepada penguasaan asas 4M manakala di tahap 2, fokus adalah terhadap pengukuhan dan aplikasi 4M.

    V.          Elemen Merentas Kurikulum (EMK)

Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. EMK diperkenalkan semasa dalam perlaksanaan KBSR yang mana hanya menerapkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Berbeza pula dalam perlaksanaan KSSR yang mempunyai penyepaduan tiga elemen iaitu Elemen Kreatif dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Elemen ini diperkenalkan dalam KSSR sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti perlaksanaan kurikulum terkini. Penambahan tiga elemen ini diharapkan dapat memenuhi keperkuan murid dalam membangunkan modal insane yang holistik, berpengetahuan, berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi serta berkeperibadian mulia.

  VI.          Kaedah Penilaian.

Perubahan dalam reka bentuk kurikulum juga telah membawa kepada perubahan kaedah penilaian
          Semasa KBSR, penilaian dikendalikan guru di sekolah adalah secara formatif dan sumatif. Penilaian berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia pula adalah secara sumatif iaitu melalui UPSR. Penilaian sumatif adalah amat ditekankan semasa KBSR berbanding pernilaian formatif.
          Penilaian KSSR pula berbeza dengan penilaian dalam KBSR. KSSR menekankan penilaian formatif yang bertujuan menilai perkembangan proses pembelajaran murid. Penilaian dilakukan secara berterusan sepanjang tempoh pembelajaran murid. Dalam KSSR, guru-guru menilai murid melalui komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana melibatkan proses mengumpul maklumat yang autentik dan boleh diharap secara formatif dan sumatif. Pentaksiran ini adalah penilaian  yang dilakukan di peringkat sekolah seperti kerja praktikal, tugasan bertulis, ujian, kajian dan lain-lain tugasan.

KESIMPULAN

KBSR dan KSSR mempunyai ciri kekuatan masing-masing. Namun  perubahan-perubahan yang berlaku disebabkan rasional-rasional atau alasan yang kukuh serta mengikut kehendak perubahan waktu dan selaras dengan cabaran semasa, maka transformasi perlu dilakukan. Segala penambahbaikkan dalam kurikulum ini perlu dilakukan bagi menyediakan warga negara kita untuk menghadapi arus kemodenan dalam menentang cabaran abad ke-21.
          Ini jelas dapat dilihat dalam objektif KSSR yang lebih berfokuskan ke arah kemahiran-kemahiran seperti mengira, berfikir, belajar, saintifik dan teknikal. Kemahiran-kemahiran ini meliputi skop yang lebih luas seperti kemahiran dalam teknologi dan maklumat. Kemahiran-kemahiran dalam KSSR juga diperlukan bagi menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan dan mempertingkatkan lagi jati diri daripada peringkat akar lagi.