PENGENALAN
Sistem
pendidikan negara terus mengalami perkembangan selaras dengan perubahan yang
telah berlaku dalam merentasi zaman kemodenan. Kronologinya, Akta Pelajaran
1961 menjadi asas kepada perlaksanaan pendidikan di negara ini, atas dasar
untuk membasmi buta huruf rakyat dan melahirkan tenaga kerja mahir. Manakala
pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah(KBSR) diperkenalkan setelah
dibuat penambahbaikkan ke atas kurikulum lama, kesan daripada Laporan
Jawatankuasa Kabinet 1979. Seterusnya apabila Falsafah Pendidikan Negara – FPN
(1988) disuratkan, sekali lagi kurikulum diberi penambahbaikkan, lalu Kurikulum
Baru Sekolah Rendah ditukarkan namanya kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) yang bermula pada tahun 1993. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
berorientasi berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara. Memandangkan zaman
semakin berubah, sekali lagi kurikulum baru diperkenalkan iaitu Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini dilaksanakan pada tahun 2011
hinggalah sekarang.
LATAR
BELAKANG : KBSR
KBSR merupakan singkatan
kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah yang diperkenalkan ekoran daripada
terbitnya Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
KBSR diperkenalkan pada tahun 1982 menggantikan Kurikulum Lama Sekolah Rendah. Kurikulum ini telah mula
dilaksanakan di semua sekolah rendah bermula pada tahun 1982 di 305 buah
sekolah rendah dan pada tahun 1983, pelaksanaan penuh pun bermula di semua
sekolah rendah seluruh negara.
KBSR
pada asasnya berpegang pada konsep bahawa murid-murid perlu memperolehi ilmu
pengetahuan, menguasai pelbagai kemahiran dan menghayati nilai secara terus
melalui pengalaman.
KBSR dibahagikan kepada tiga
bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dan alam sekitar dan
bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi menjadi bidang utama
dengan menekankan kemahiran asas iaitu kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira)
yang diterapkan melalui 2 matapelajaran : Bahasa (Melayu, Cina, Tamil dan
Inggeris) dan Matematik. Bidang ini selaras dengan perakuan dalam Laporan
Jawatankuasa Kabinet 1979.
“Kementerian
hendaklah mengambil langkah tertentu supaya pendidikan rendah bercorak
pendidikan asas yang memberi penegasan dalam bidang 3M iaitu membaca, menulis
dan mengira”
~ Perakuan 2a, Laporan Jawatankuasa
Kabinet.
Dalam bidang kemanusiaan dan
alam sekitar pula, memfokuskan tentang nilai-nilai kemanusiaan dan persekitan
serta komponen kerohanian, nilai dan sikap yang diajar melalui mata pelajaran
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Manakala, dalam bidang perkembangan diri
individu pula meliputi semua aspek iaitu intelek, rohani, jasmani, bakat,
akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial. Aspek ini diterapkan kepada murid
melalui pembelajaran Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni dan Muzik.
Walaubagaimana
pun, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diubah kepada Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah pada tahun 1993 selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara
yang ditulis ketika itu. Ini berlaku setelah penyemakan semula kurikulum dibuat
dengan alasan bagi mengenalpasti kerelavanannya dalam merentas masa. Selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ditulis ketika itu, konsep
bersepadu menjadi tumpuan utama dalam kurikulum dan pengajaran di sekolah
melalui perlaksanaan KBSR.
Konsep
bersepadu yang dikandung dalam KBSR adalah meliputi unsur-unsur pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam kandungan KBSR diintergrasikan supaya terdapat
kesepaduan. Maka dalam proses pengajaran dan pembelajaran, konsep bersepadu
tadi diserapkan melalui :
I.
Penggabungjalinan
untuk menyepadukan kemahiran-kemahiran selain daripada penyerapan ilmu
pengetahuan.
II.
Nilai-nilai pula
dititikberatkan dan mesti diserapkan sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran.
III.
Perkembangan potensi
intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu berlaku secara harmonism
menyeluruh dan sepadu. Perkembangan ini tidak boleh dilakukan secara
berasingan.
IV.
Kesepaduan antara
teori dan praktik.
Suasana
persekolahan dalam konteks KBSR adalah bagi memberi peluang murid-murid
memperoleh dan merasai pengalaman hidup seperti menyelesaikan masalah,
berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat, membina persefahaman dalam pergaulan
dan memupuk semangat kerja antara satu sama lain.
LATARBELAKANG
: KSSR
Transformasi Kurikulum
Standard Sekolah Rendah adalah merupakan pengukuhan dan penambahbaikkan kepada Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid
dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan
keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke-21. KSSR telah menjalani uji
rintis di 500 buah sekolah rendah yang terpilih pada 31 Mac 2009 hingga Jun
2009. KSSR dilaksanakan sepenuhnya kepada murid-murid tahun 1 di semua sekolah
bermula pada 2011.
KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR iaitu perkembangan
individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid, pendekatan
bersepadu dan pendidikan seumur hidup. Dalam KSSR, penggunaan standard diguna
pakai. Oleh itu, pengajaran KSSR adalah berpandukan Dokumen Standard Kandungan
dan Dokumen Standard Pembelajaran.
“KSSR digubal dalam bentuk
pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan
dan standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan
tahap persekolahan”
Bahagian
Pembangunan Kurikulum, KPM(2011)
Dari segi reka bentuk, KSSR berasaskan kepada enam tunjang
iaitu Tunjang Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan,
Perkembangan Fizikal dan Estetika, Sains dan Teknologi dan Keterampilan Diri.
Dalam KSSR juga telah ditambah dengan elemen merentas kurikulum (EMK) yang baru
iaitu Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan serta Teknologi Maklumat dan
Komunikasi.
BANDING BEZA ANTARA
KBSR DENGAN KSSR
Jadual di bawah menunjukkan
banding beza antara KBSR dengan KSSR secara ringkas.
sumber : laman sesawang KPM |
|
1.PERSAMAAN KBSR
dengan KSSR
Sepertimana yang telah kita
ketahui, kewujudan KSSR ini adalah merupakan satu proses transformasi daripada
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Ini menjadikan KSSR mempunyai sedikit
persamaan dengan KBSR.
Antara persamaan KBSR dengan
KSSR ialah
I.
Kedua-dua kurikulum
ini diolah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di
mana prinsip KSSR masih lagi berpegang teguh kepada 4 prinsip yang didukung
oleh KBSR iaitu pendekatan bersepadu di mana unsur-unsur pengetahuan, kemahiran
dan nilai dalam kandungan si pelajaran diintergrasikan supaya terdapat
kesepaduan dan keharmonian antara unsur-unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani dalam
proses pembelajaran murid. Prinsip lain yang sama-sama dipegang KBSR dan KSSR
ialah perkembangan individu secara menyeluruh, peluang pendidikan yang sama
serta pendidikan seumur hidup.
II.
KBSR dan KSSR juga
mempunyai persamaan dalam organisasi kurikulum. Kedua-dua
kurikulum ini diorganisasikan mengikut tahap iaitu, Tahap 1 dan Tahap 2.
Walaubagaimana pun, pengkategorian dalam organisasinya pula telah berbeza(akan
dihuraikan di bawah tajuk perbezaan KBSR dan KSSR). KBSR dan KSSR juga turut memberikan
penekanan dalam bidang kokurikulum dan pembangunan insaniah.
2.PERBEZAAN ANTARA
KBSR dengan KSSR
Perbandingan antara KBSR dan
KSSR boleh dibuat berdasarkan perkaitan berikut ; reka bentuk kurikulum,
organisasi kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, pembahagian masa,
bahan kurikulum, fokus kurikulum dan penilaian.
I.
Reka
bentuk kurikulum.
KBSR
direka dengan hanya mempunyai tiga bidang utama iaitu bidang Komunikasi, Manusia
dan Alam Sekelilingnya serta bidang Perkembangan Diri Individu. Tiga bidang ini
direka bagi memastikan perkembangan murid secara menyeluruh untuk membangunkan
negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta intergrasi nasional melalui
sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.
Manakala,
KSSR pula telah direka dengan penambahbaikkan daripada KBSR. Enam tunjang iaitu
Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Perkembangan Fizikal dan
Estetika; Sains dan Teknologi dan tunjang Keterampilan Diri menjadi bidang
utama dalam KSSR.
Penambahanbaikan
reka bentuk dalam KSSR, bermatlamat untuk memperluaskan skop pembelajaran murid
di peringkat sekolah rendah dan memberi banyak peluang kepada mereka untuk
menjalani ‘independent learning’ .
Reka
bentuk KBSR adalah bersifat linear yang bermaksud kurikulum
yang disampaikan adalah mengikut turutan misalnya bermula daripada kandungan,
hasil pembelajaran dan seterusnya cadangan dan aktiviti pembelajaran. Berlainan
dengan KSSR di mana dibentuk secara modular yang merupakan satu
kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam
bentuk bahagian atau unit yang dinamakan sebagai modul.
II.
Bahan Kurikulum
Justeru
dengan perubahan yang berlaku dalam reka bentuk kurikulum, ia juga membawa
perubahan kepada bahan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pengajaran guru semasa KBSR adalah berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian
Sukatan Pelajaran sebagai panduan. Pembelajaran murid berlangsung mengikut
perancangan yang dibuat oleh guru berdasarkan kedua-dua dokumen itu. Bagi KSSR
yang digubal secara pernyataan standard maka dengan itu, bahan yang dirujuk
oleh guru-guru ialah Dokumen Standard
Kurikulum yang mengandungi Dokumen Standard Kandungan dan Dokumen
Standard Pembelajaran. Segala perubahan ini telah menyebabkan para guru perlu
untuk membuat perubahan dalam pengajaran masing-masing sama ada daripada segi
kaedah, strategi serta teknik mengajar.
III.
Organisasi Kurikulum
KBSR
dan KSSR masih lagi mengekalkan organisasi kurikulum yang sama iaitu membezakan
murid mengikut tahap iaitu tahap 1 untuk murid tahun 1 hingga tahun 3 dan tahap
2 untuk murid tahun 4 hingga tahun 6 namun terdapat perbezaan dalam
penstrukturan mata pelajaran.
Murid tahap 1 dan 2 perlu diajar
dengan mata pelajaran teras, wajib dan tambahan dalam KBSR .Semasa KBSR diguna
pakai, selain bahan-bahan daripada buku teks, bahan-bahan lain yang relevan
difikirkan dan disediakan oleh guru sevagai bahan pembelajaran di dalam kelas.
Namun dalam KSSR, tahap 1 diajar melalui Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan
Modul Elektif, berbeza dengan pengajaran kepada murid tahap 2 di mana
murid-murid ini diajar dalam matapelajaran teras dan elektif. Perlaksanaan KSSR
yang berasaskan modular telah menggunakan bahan-bahan pembelajaran yang menggiatkan pelajar belajar secara
interaktif dan hands-on.
IV.
Fokus Kurikulum.
Perbezaan
antara dua kurikulum ini juga dapat dilihat melalui fokus setiap kurikulum .
Ini dapat dilihat dalam kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid.
KBSR
memberi penegasan kepada penguasaan murid dalam kemahiran asas iaitu kemahiran
3M yang membawa maksud kemahiran membaca, menulis dan mengira, manakala dalam
KSSR pula, telah ditambah satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid
menjadikannya empat kemahiran asas. Kemahiran asas yang telah ditambah ke dalam
KSSR ialah kemahiran menaakul. Kemahiran Menaakul adalah keupayaan membuat
pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. Di tahap 1,
tumpuan adalah kepada penguasaan asas 4M manakala di tahap 2, fokus adalah
terhadap pengukuhan dan aplikasi 4M.
V.
Elemen Merentas
Kurikulum (EMK)
Elemen
Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran selain yang diterapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. EMK diperkenalkan semasa dalam perlaksanaan KBSR yang mana hanya
menerapkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Berbeza pula dalam
perlaksanaan KSSR yang mempunyai penyepaduan tiga elemen iaitu Elemen Kreatif
dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Elemen ini
diperkenalkan dalam KSSR sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti
perlaksanaan kurikulum terkini. Penambahan tiga elemen ini diharapkan dapat
memenuhi keperkuan murid dalam membangunkan modal insane yang holistik,
berpengetahuan, berfikiran kreatif, kritis dan berinovasi serta berkeperibadian
mulia.
VI.
Kaedah Penilaian.
Perubahan
dalam reka bentuk kurikulum juga telah membawa kepada perubahan kaedah penilaian
Semasa KBSR, penilaian dikendalikan
guru di sekolah adalah secara formatif dan sumatif. Penilaian berpusat oleh
Lembaga Peperiksaan Malaysia pula adalah secara sumatif iaitu melalui UPSR. Penilaian
sumatif adalah amat ditekankan semasa KBSR berbanding pernilaian formatif.
Penilaian KSSR pula berbeza dengan penilaian
dalam KBSR. KSSR menekankan penilaian formatif yang bertujuan menilai
perkembangan proses pembelajaran murid. Penilaian dilakukan secara berterusan
sepanjang tempoh pembelajaran murid. Dalam KSSR, guru-guru menilai murid
melalui komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana melibatkan proses
mengumpul maklumat yang autentik dan boleh diharap secara formatif dan sumatif.
Pentaksiran ini adalah penilaian yang
dilakukan di peringkat sekolah seperti kerja praktikal, tugasan bertulis,
ujian, kajian dan lain-lain tugasan.
KESIMPULAN
KBSR
dan KSSR mempunyai ciri kekuatan masing-masing. Namun perubahan-perubahan yang berlaku disebabkan
rasional-rasional atau alasan yang kukuh serta mengikut kehendak perubahan
waktu dan selaras dengan cabaran semasa, maka transformasi perlu dilakukan.
Segala penambahbaikkan dalam kurikulum ini perlu dilakukan bagi menyediakan
warga negara kita untuk menghadapi arus kemodenan dalam menentang cabaran abad
ke-21.
Ini jelas dapat dilihat dalam objektif
KSSR yang lebih berfokuskan ke arah kemahiran-kemahiran seperti mengira,
berfikir, belajar, saintifik dan teknikal. Kemahiran-kemahiran ini meliputi
skop yang lebih luas seperti kemahiran dalam teknologi dan maklumat.
Kemahiran-kemahiran dalam KSSR juga diperlukan bagi menyiapkan diri menghadapi
cabaran masa hadapan dan mempertingkatkan lagi jati diri daripada peringkat
akar lagi.